Buletin

WARGA EMAS MAUT DILANGGAR KERETA SENDIRI, TERLUPA TARIK BREK TANGAN

Seorang wanita warga emas meninggal dunia dilanggar keretanya sendiri yang bergerak dalam keadaan mengundur, dipercayai akibat terlupa menarik brek tangan, selepas memarkir kenderaan itu di kediamannya di Taman Sri Amar di sini pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam insiden pada 10.40 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan selepas dilanggar serta diseret kira-kira 10 meter ke jalan raya.

“Kematian mangsa telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Sultan Ismail dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pada masa sama, kita memohon agar saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Hafiza Othman di talian 014-806 8350,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hadi Mohamad pula berkata, semasa pihaknya iaitu pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis Perodua Axia telah bergerak dalam keadaan mengundur ketika mangsa hendak membuka pintu pagar rumahnya.

“PKO bertindak mengangkat mangsa yang ditemukan di antara kereta dan tembok rumah itu dengan menggunakan pengusung sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” menurut beliau dalam kenyataan berasingan. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button