Buletin

VOLVO TINGGALKAN WAGON, FOKUS PADA SUV

Volvo, jenama yang sinonim dengan kereta wagon, kini bersedia untuk meninggalkan warisan tersebut demi masa depan lebih berorientasikan SUV.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Volvo, Jim Rowan, keutamaan syarikat kini terarah pasaran yang memihak kepada SUV.

Dalam satu temu bual bersama AutoExpress, Rowan menjelaskan bahawa kos pembangunan model baharu adalah tinggi, dan cara paling berkesan untuk meningkatkan jualan adalah dengan menggunakan platform dan reka bentuk yang seragam.

Oleh itu, Volvo memilih untuk menumpukan sumbernya kepada SUV, termasuk varian khusus seperti Black Edition dan Cross Country.

Peralihan Strategik ke SUV

Langkah Volvo untuk memberi tumpuan penuh kepada SUV bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan permintaan global terhadap segmen ini semakin meningkat.

Namun, keputusan ini menandakan perubahan besar bagi syarikat yang selama ini dikenali dengan model wagon.

Keputusan ini juga menarik kerana ia bercanggah dengan kenyataan Pengarah Komersial Volvo UK, Robert Deane, yang sebelum ini menyatakan bahawa menghentikan pengeluaran model V60 dan V90 pada 2023 adalah satu kesilapan.

Menurutnya, pelanggan yang tidak lagi mendapat pilihan wagon daripada Volvo akhirnya beralih kepada jenama lain seperti BMW dan Audi, yang masih menawarkan model estate.

Namun, Rowan berpendapat bahawa Volvo perlu membuat keputusan yang lebih fokus. “Kami memilih untuk bersaing dalam segmen yang dapat kami kuasai dengan lebih baik,” katanya.

Dari sudut perniagaan, strategi ini masuk akal. Volvo sedang bersiap sedia untuk melancarkan lima model baharu menjelang 2025, termasuk ES90 dan EX60 elektrik sepenuhnya.

Google ads
"
"
Back to top button