VOLKSWAGEN GOLF GTI 2024 MULA DITAWARKAN, KUASA BERTAMBAH, 44,505 EURO (RM227 RIBU)
Selepas diperkenal pada Januari lalu, Volkswagen kini mula mengambil pesanan Golf GTI 2024 dari pelanggan di Jerman.
Penawaran itu juga didatangkan bersama perincian yang lebih lengkap. Semasa diperkenal pada Januari, VW memaklumkan Golf GTI lebih berkuasa daripada sebelumnya.
Adakah itu tanda bahawa Golf GTI menerima kuasa tambahan dari perkakasan elektrik?
Nampaknya tidak, Golf GTI kekal dengan enjin EA888 2.0 liter turbo yang menghantar daya kilas 370Nm pada gandar depan dan dibekalkan pembeza gelinciran elektronik.
Daya kilas bermula dari serendah 1,600 rpm dan sehingga 4,590 rpm atau pada julat kelajuan enjin lebih besar. Kuasa maksimum naik 20 ps kepada 265 ps dalam julat 5,250 sehingga 6,500 rpm.
Kotak gear DSG tujuh kelajuan boleh ditukar secara manual menggunakan pedal pada stereng.
Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 5.9 saat dan buat kali pertama di bawah enam saat. Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j.
Berada dalam generasi kelapan, bentuk asas kekal sama namun berbeza dari segi perincian. Rupa depan direka baharu dan tampil lebih garang.
VW melengkapinya dengan lampu besar LED Plus dan logo yang bercahaya. Sebaris lampu yang merentasi jeriji juga membentuk rupa baharu.
Selain perkakasan asas, VW menawarkan lampu besar metrik IQ.LIGHT LED dengan suluhan tinggi yang lebih jauh daripada dahulu.
Lampu lebih nipis diserlahkan dengan bampar yang mempunyai sepit ketam dan tampil garang. Lampu belakang LED menggunakan corak dalaman baharu.
Keluar dari kilang Wolfsburg, Golf GTI dipasang rim aloi Richmond saiz 17 inci.
Jika terasa kecil, VW menawarkan rim Quenstown saiz 19 inci. Bukan dari Alfa Romeo, corak bulat mengingatkan kepada rim Detroit yang diperkenalkan pada Golf GTI generasi kelima.
Bahagian dalam tipikal sebuah Golf GTI dengan kerusi sport dan riasan merah.
Satu perkakasan yang khusus untuk GTI ialah butang Enjin/Mula/Henti. Selepas pintu dibuka, butang akan berkelip dalam warna merah sehingga enjin dihidupkan.
Sistem Digital Cockpit Pro turut dipertingkatkan dan seperti model VW baharu lain, pelanggan ditawarkan sistem ChatGPT untuk menjawab persoalan pemandu atau penumpang.
Berkenaan harga, Golf GTI 2024 ditawarkan pada 44,505 euro (RM227,535).
Kepada yang sudah berkenan, harap maklum bahawa Golf GTI terbaru tidak akan ditawarkan di pasaran tempatan pada tahun ini.