TRANSMISI MANUAL MUNGKIN DITAWARKAN PADA MODEL PENGGANTI LEXUS LFA BERKUASA ELEKTRIK
Lexus dilapor bakal hadir dengan sebuah model supercar berkuasa elektrik yang dikatakan menjadi pengganti sah bagi model supercar Lexus LFA.
Menariknya, supercar berkuasa elektrik itu bakal ditawarkan dalam varian manual!
Lazimnya, sesebuah EV tidak memerlukan langsung penggunaan transmisi, disebabkan motor elektrik berupaya menghasilkan daya kilas penuh dari pegun, sekaligus menawarkan pecutan segera.
Namun, bagi presiden Lexus, Koji Sato menegaskan beliau mahu mencari satu jalan supaya supercar elektrik itu boleh dipadankan dengan kotak gear manual – sama seperti kereta sports konvensional.
Supercar yang tidak mempunyai nama itu bakal memiliki prestasi pecutan 0-96 km/j dalam masa bawah dua saat, serta jarak gerak sehingga 700 km terima kasih kepada penggunaan bateri solid-state.
Selain itu, supercar ini akan menampilkan ciri torque vectoring, serta sistem stereng steer-by-wire.
Menurut Sato lagi, pihak Lexus sedang mempertimbangkan untuk menggunakan bahan ringan seperti gentian karbon pada model supercar elektrik ini. – Top Gear