Buletin

TOYOTA COROLLA CROSS UNTUK BERLUMBA DI BRAZIL, SUV JADI RENDAH, 500 HP!

M-Sport Ford menggunakan crossover SUV Puma untuk bersaing di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC). Direndahkan, Puma Rally1 nampak seperti sebuah hatchback.

Ini pula sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dijadikan kereta lumba. Toyota Corolla Cross akan bersaing di dalam kejohanan Stock Car Pro Series di Brazil pada 2025.

Kereta lumba ini bukan direndahkan dari Corolla Cross tetapi dibangunkan dari pelantar Audace SNG01.

Untuk makluman, di antara pelumba handalan yang bersaing pada musim ini ialah Rubens Barrichello dan pernah dua kali menjulang trofi juara sejak 2012 dan dua lagi alumni Formula 1, Nelson Piquet Jr. dan Felipe Massa.

Sejarah Toyota GAZOO Racing (TGR) di dalam Stock Car bermula pada 2020 menggunakan Corolla.

Pencapaian yang dicatatkan membanggakan dan sepanjang lima tahun meraih 49 kemenangan, 27 kedudukan petak pertama, 37 pusingan terpantas dan 141 podium.

Dikeluarkan oleh Magna Compósitos, badan kereta diperbuat daripada komposit seperti gentian karbon, aramid, gentian kaca dan Kevlar.

Corolla Cross Stock Car lebih ringan, lincah, stabil dan berteknologi berbanding jentera sebelum ini dan menamatkan era kereta sedan.

Rupa depan mengambil gaya Corolla Cross dan diubah menjadi lebih agresif.

Ambilan udara baharu untuk brek dan enjin termasuk pada tukup menambah tarikan selain kegunaan asas dan hasil daripada ujian mendalam di beberapa litar lumba di Brazil.

Sayap belakang dengan tiang leher angsa setinggi kereta dan memanjang ke belakang. Peresap belakang juga tampil agresif.

Berkenaan enjin, lupakan tentang 1.8 liter dan 2.0 liter mahupun hibrid kerana jentera ini menggunakan enjin 2.1 liter turbo yang menghasilkan kira-kira 500 kuasa kuda (hp) dan disuap bahan api Podium gasoline.

Enjin dipadan bersama kotak gear Xtrac enam kelajuan berjujukan dan separa automatik. Sistem keterhubungan kereta disediakan oleh sistem Qualcomm Snapdragon 5G.

Penyerap hentak boleh laras jenis rod tunjal (berbaring) dari Penske Racing dengan ampaian rekaan double A. 

Rim kereta dibangunkan di Brazil oleh Mangels dan tersimpan angkup enam dan empat omboh AP Racing, cakera HipperFreios dan pad Cobreq yang kedua-duanya direka khusus untuk Stock Car.

Gambar dalaman tidak dikongsi kecuali dimaklumkan mempunyai beberapa kelengkapan seperti monitor dan panel yang dilengkapi sejumlah fungsi baharu.

Satu lagi yang menarik ialah kamera dalaman 360 darjah yang akan digunakan semasa penyiaran perlumbaan Stock Car Pro Series.

Selain Corolla Cross, dua lagi model yang akan berentap pada musim 2025 ialah Chevrolet Tracker dan Mitsubishi Eclipse Cross. Iya, Mitsubishi pun sama-sama bersaing.

Google ads
Back to top button