
TOYOTA BZ4X 2025, LEBIH KUASA, JARAK BERTAMBAH!
Toyota bZ4X ditugaskan sebagai pahlawan sulung bagi bersaing di dalam medan perang kenderaan elektrik (EV).
bZ4X dilancar pada 2024 dan ditawarkan di serata dunia. bZ4X juga sudah dipertontonkan di dalam negara namun belum dilancar secara rasmi. Mungkin model 2025?
bZ4X 2025 diperkenal di Eropah dan menjalani beberapa program peningkatan seperti rekaan, prestasi dan kecekapan tenaga.
Sekali pandang nampak sama tetapi berbeza. Rekaan luaran lebih aerodinamik dan rupa hadapan yang lebih elegan dengan bampar dan lampu baharu.
bZ4X kini nampak seragam seperti model baharu lain seperti Prius, Camry dan CH-R+.
Pada bahagian dalam, papan pemuka ditukar baharu termasuk konsol tengah untuk sambungan lebih mudah dan penggunaan peranti digital. Skrin multimedia standard berukuran 14 inci.
Toyota memberi perhatian pada pengurangan bunyi dan getaran dengan penalaan semula suspensi dan pelarasan badan kereta.
bZ4X Eropah ditawarkan dalam dua pilihan bateri iaitu 57.7 kilowatt-jam (kWj) untuk pacuan roda hadapan (FWD) dan 73.1 kWj bagi kedua-dua pacuan FWD dan semua roda (AWD).
Bergantung pada varian, jarak pemanduan bZ4X 2025 sehingga 573 kilometer (km) (WLTP, menunggu homologasi).
Model sebelum ini dibekalkan bateri 71.4 kWj dengan model FWD menghasilkan 201 kuasa kuda (hp) dan 215 hp untuk model AWD.
Jarak pemanduan masing-masing sehingga 500 km dan 411 km.
eAxle bZ4X dipertingkatkan dengan semikonduktor silikon karbida (SIC) untuk kecekapan dan kuasa lebih tinggi.
Tiga rangkaian kuasa:
- FWD (57.7 kWj): 165bhp / 167 DIN hp / 123kW
- FWD (73.1 kWj): 221bhp / 224 DIN hp / 165kW
- AWD (73.1 kWj): 338bhp / 343 DIN hp / 252kW
Varian AWD mempunyai keupayaan menunda sehingga dua kali ganda atau 1.5 tan.
bZ4X 2025 dilengkapi fungsi prapemanasan bateri sebagai ciri asas.
Dengan prapemanasan bateri, suhu optimum dapat dikekalkan semasa pengecasan, membolehkan kuasa pengecasan lebih tinggi. Fungsi ini boleh diaktifkan secara manual atau automatik.
Selain itu, sistem navigasi turut dilengkapi dengan fungsi laluan EV.Â
Sistem secara automatik akan memilih laluan dengan stesen pengecasan yang disyorkan dan mudah diakses, berdasarkan tahap cas bateri dan jarak pemanduan yang tinggal.
Fungsi ini juga telah tersedia untuk model bZ4X sedia ada.
Dari segi penambahan tenaga, pengecas AC 22kW baharu tersedia untuk varian gred lebih tinggi. Kuasa pengecasan pantas DC kekal 150kW.
Melalui Program Penjagaan Bateri Toyota pemilik diberi jaminan sehingga 10 tahun atau 650,000 batu (1,046,071 km), tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan bateri tahunan.
bZ4X 2025 dijadual untuk dilancarkan di United Kingdom Eropah selepas musim panas 2025 (September dan ke atas).

























