SKODA KODIAQ RS GENERASI KEDUA – LEBIH LAJU DAN LAWA
Usai memperkenalkan generasi kedua SUV bersaiz sederhana, pengeluar kenderaan dari Republik Czech kini memperkenalkan varian terkini dan terlaju untuk SUV mereka, Skoda Kodiaq RS. Model SUV yang kini tampil dengan lencana RS sebagai lambang kelajuan untuk barisan model dari Skoda Auto.
Sebelum bercerita lebih jauh tahukah anda bahawa nama model SUV yang laju ini di UK tidak boleh menggunapakai RS dan Skoda harus menggunakan vRS. Ini disebabkan Ford telah memegang hak nama RS di sana.
Kini, Skoda Kodiaq RS generasi kedua ini mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa yang ketara melalui penggunaan enjin petrol 2.0 liter TSI baharu yang kini mampu menghasilkan kuasa sekitar 265 HP.
Rupa luarannya mungkin tidak banyak berbeza dengan model standard Skoda Kodiaq generasi kedua. Akan tetapi ianya boleh dibezakan dengan ketara melalui penggunaan kemasan berwarna hitam berkilat yang memanjang sehingga ke pilar D dan juga lencana RS di bahagian hadapan dan belakang.
Penampilan luaran khusus digariskan oleh bampar sporty dan jalur lampu mendatar gril hadapan. Peralatan standard yang luas termasuk lampu depan jenis LED Matrix.
Seperti dalam semua model Škoda RS, bahagian belakang mempunyai reflektor yang merangkumi keseluruhan lebar kenderaan. Perkataan SKODA di bahagian tengah telah digelapkan. Rekaan bampar belakang juga turut diberikan sedikit kemasan baharu dengan terdapat tip ekzos berkembar menghiasi bahagian bawah yang jelas kelihatan. Melengkapkan penampilan luaran adalah rim bersaiz Elias 20 inci dengan kemasan hitam khusus untuk model RS ini.
Trenkuasa enjin 2.0 liter TSI kini mempunyai kuasa sehingga 265 HP, tambahan 20 HP berbanding model sebelumnya dengan tork sehingga 400 Nm. Ianya digandingkan dengan kotak gear DSG 7 kelajuan.
Skoda Kodiaq RS ini turut dilengkapi dengan Dynamic Sound Boost untuk menghasilkan bunyi enjin yang lebih garang. Bahagian kabin menampilan tempat duduk sporty yang dibaluti upholsteri Suedia berwarna hitam yang dikontrakan dengan jahitan berwarna merah.
Paparan Virtual Cockpit bersaiz 10 inci dan juga paparan skrin infohiburan bersaiz 10 inci didatangkan sebagai standard dengan pilihan skrin bersaiz 13 inci boleh dibuat oleh pengguna. Paling penting, sistem pembesar suara Canton dipasang secara standard untuk Skoda Kodiaq RS ini.
Lain – lain ciri keselamatan dan keselesaan adalah setara dengan model standard Skoda Kodiaq ini.
BACA : SKODA KODIAQ RS – ORAIT KE TAK SUV JENAMA REPUBLIK CZECH NI SEBENARNYA?
BACA : SKODA KODIAQ GENERASI KEDUA TAMPIL DENGAN IMEJ YANG LEBIH EKSKLUSIF DAN MENAWAN