
PROTON SAGA CKD RASMI DILANCARKAN DI MESIR, KUKUHKAN KERJASAMA PROTON DAN EZZ ELARAB
PROTON terus meluaskan pengaruh globalnya dengan pelancaran rasmi model Proton Saga yang dipasang sepenuhnya (CKD) di Mesir.
Kejayaan ini direalisasikan melalui kerjasama erat antara PROTON dan pengedarnya di Mesir, Kumpulan Ezz Elarab, yang telah terjalin selama dua dekad.
Pengumuman ini hadir hanya tiga bulan selepas perasmian kilang CKD Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, pada November tahun lalu.
Majlis pelancaran yang berlangsung di kilang CKD ESAF di Kaherah telah dihadiri oleh pemimpin industri, pegawai kerajaan serta wakil PROTON dan ESAF.

Sebagai model pertama PROTON, Proton Saga telah mencatat sejarah pengeluaran hampir empat dekad dan terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Tahun lalu, jualan keseluruhan Proton Saga telah mencecah lebih 2 juta unit, manakala eksport meningkat 34 peratus kepada 2,906 unit bagi tahun 2024. Di pasaran domestik, Saga kekal sebagai model paling laris PROTON, membuktikan daya tahan serta kebolehpercayaannya.
Kilang CKD ESAF dibangunkan dengan pelaburan bernilai AS$50 juta dan mampu menghasilkan sehingga 40,000 unit kenderaan setahun dengan operasi dua syif.
Projek ini bukan sahaja memperkukuh industri automotif di Mesir tetapi juga sejajar dengan matlamat negara itu untuk membangunkan sektor automotif tempatan melalui penggunaan komponen tempatan serta rancangan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan, selari dengan Wawasan 2030 Mesir.

Pengurus Besar Proton Egypt, En. Bassem Ashmawy, menyatakan bahawa kerjasama antara PROTON dan Ezz Elarab Automotive selama 20 tahun telah menyaksikan lebih 18,000 kenderaan PROTON berada di jalan raya Mesir.
Menurut beliau, pencapaian ini membuktikan kebolehpercayaan dan daya tarikan model PROTON di pasaran luar negara.
“Kami komited untuk terus menawarkan tahap keselamatan, keselesaan dan teknologi moden terbaik dalam setiap model yang kami hasilkan. Pelancaran Proton Saga CKD ini adalah satu lagi langkah penting dalam usaha kami untuk memperkukuh jenama PROTON di Mesir. Kami tidak sabar untuk melihat lebih banyak Proton Saga baharu meluncur di jalan raya Mesir,” ujar beliau.
- BACA: SIME MOTORS PERKENALKAN EV NEXT, PUSAT JUAL BELI EV TERPAKAI DI MALAYSIA
- BACA: HONDA MALAYSIA UMUM STRATEGI 2025 DENGAN PENGENALAN 3 MODEL BAHARU
- BACA: TOYOTA BAKAL BERGANDINGAN DENGAN MAZDA HASILKAN GR86 BAHARU – BIAR BETIK NI
- BACA: TERKINI: KAWASAKI KLX 230 MASUK MALAYSIA TAHUN INI – 19.7HP, 17.9NM