Buletin

PENYASARAN SUBSIDI RON95: PENETAPAN HARGA PAM AMBIL KIRA HARGA PASARAN

Pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 kelak akan membabitkan penetapan harga pam yang mengambil kira harga pasaran iaitu sama seperti pelaksanaan ke atas diesel.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penerima subsidi RON95 meliputi 85 peratus pengguna warganegara akan terus menikmati RON95 bersubsidi.

Beliau berkata, bagi meredakan kebimbangan rakyat, kerajaan akan memastikan kaedah pelaksana penyasaran subsidi RON95 yang menyeluruh dan berkesan seperti tindakan yang diambil kepada diesel.

“Ini termasuklah memastikan kumpulan rakyat yang layak akan terus mendapat insentif atau bantuan sewajarnya disamping menggunakan mekanisma yang mudah dan holistik untuk penyebaran maklumat atau penerangan penyasaran subsidi yang berkesan.

“Selain itu, mengelakkan berlakunya cubaan pencatutan dan kenaikan mendadak harga dalam kalangan penguasa (stesen minyak) yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan MyKad sebagai rujukan utama dalam penyasaran subsidi RON95 dibuat selepas melihat kebolehlaksanaan teknologinya yang terbukti berkesan menerusi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan bagi pembelian barangan keperluan asas terpilih yang diperkenal sejak 2024

Amir Hamzah berkata, tahap penggunaan (MyKad untuk SARA) di Kelantan dan Perlis mencecah 99 peratus.

“Bermula 15 Januari 2025, kerajaan sudah menyalur SARA menerusi MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

“Pada Januari 2025, penyaluran SARA menerusi MyKad diperluaskan juga ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya negeri semenanjung pada 2024.

“Pada April tahun ini, SARA akan diperluaskan kepada 5.4 juta penerima termasuk isi rumah B40,” katanya.

Kementerian Kewangan minggu lalu memaklumkan kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai rujukan utama bagi menentukan status kewarganegaraan, sementara kriteria lain seperti pemilikan kenderaan sama ada yang bermotosikal atau berkereta termasuk lokaliti penerima subsidi masih dalam penelitian pihak kerajaan.

Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi RON95 perlu dilaksana berikutan perbezaan harga yang besar, sekali gus menyebabkan ketirisan dalam subsidi petrol yang digunakan golongan tidak sepatutnya.

“Berdasarkan data semasa, dianggarkan penggunaan petrol oleh bukan warganegara, sektor komersil termasuk aktiviti penyeludupan sudah melebihi 20 peratus daripada jumlah penggunaan.

“Memandangkan perbelanjaan subsidi RON95 tahun lalu hampir berjumlah RM20 bilion, jika ketirisan bukan warganegara, perniagaan dan golongan kaya ini ditangani, ia bakal menjimatkan lebih RM8 bilion setahun,” katanya. – Harian Metro

Google ads
"
"
Back to top button