PEMILIK F1 BAKAL AMBIL ALIH MOTOGP DARI DORNA?
Tahun lalu mula timbul desas-desus yang mendakwa terdapat pergerakan di sukan permotoran yang melibatkan pengambilalihan Kejuaraan Dunia MotoGP oleh entiti baharu.
Terbaru, Financial Times melaporkan bahawa entiti tersebut merujuk kepada Liberty Media Corporation yang merupakan pemilik sukan permotoran Formula 1.
Menurut FT, perbincangan tersebut kini berada di peringkat lanjutan dengan pihak Liberty menilaikan MotoGP pada USD4 bilion.
Bagaimanapun, perlu dijelaskan sekiranya pengambilalihan itu berjaya, Liberty bukan sahaja akan memiliki MotoGP malah turut merangkumi Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), MotoE dan kejuaraan junior.
Namun, FT mendedahkan perjanjian sebesar itu akan turut mencuri perhatian badan perundangan dunia. MotoGP dan F1 pada satu ketika pernah dimiliki oleh CVC Capital Partners namun firma pelaburan itu terpaksa menjual MotoGP bagi membeli F1.
Untuk makluman, laporan pembelian MotoGP itu timbul setelah Liberty berjaya peroleh 90 peratus saham Quint, yang merupakan pembekal berpengalaman termasuk pengurusan tiket MotoGP.
Sejak itu, ramai yang menjangkakan Liberty akan mengorak langkah seterusnya dengan mengambil alih MotoGP.