Motosikal

MOTOSIKAL CKD BAKAL NAIK HARGA SEHINGGA 20 PERATUS DENGAN PELARASAN OMV 

Pelaksanaan Peraturan-Peraturan Eksais 2019 yang menentukan cara mengira Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan CKD telah ditangguhkan sehingga 31 Disember 2025. 

Pelarasan semula OMV merupakan antara peraturan yang telah diperkenalkan kerajaan pada 2019 dan sepatutnya bermula pada 1 Januari 2025 telah ditangguhkan selama setahun. 

Penangguhan tersebut memastikan harga kenderaan termasuk pemasangan tempatan (CKD) kekal seperti sedia kala dan tidak naik sehingga 30 peratus. 

Memetik laporan rakan media Paultan.org, sekiranya pelarasan semula OMV diteruskan senario itu akan turut menyebabkan kenaikan harga motosikal CKD.

Presiden Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM), Hoo Wan Tim mengesahkan bahawa harga motosikal CKD boleh naik sehingga 20 peratus sekaligus memberi kesan kepada golongan B40 dan M40 yang rata-rata menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian. 

“Untuk motosikal, kenaikan harga untuk model pemasangan tempatan adalah antara 10% ke 20%. 

“Sebagai contoh, jika sesebuah motosikal itu sekarang harganya RM10,000, dengan pelarasan semula duti eksais ini, model sama perlu dijual pada harga RM11,000 atau RM12,000 pada tahun hadapan. 

“Bagi mereka yang memerlukan pengangkutan asas, termasuk yang bertugas dalam gig ekonomi (penghantar bermotosikal), ini adalah kenaikan yang tinggi,” jelasnya kepada Paultan.

Pada masa sama, Hoo Wan Tim juga menggesa agar pihak kerajaan menilai semula situasi OMV yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna. 

(sumber: Paultan.org)

Google ads
Back to top button