Motosikal

MOTOGP: KAPASITI ENJIN TURUN KE 850CC, HOLESHOT DIHARAMKAN BERMULA 2027

MotoGP mengumumkan peraturan baharu bermula musim 2027 yang akan memberi kesan besar pada pengeluar masing-masing. 

Bermula musim 2027, setiap pasukan pengilang dan satelit perlu mematuhi peraturan baharu bagi memastikan Kejuaraan Dunia MotoGp terus selamat. 

Enjin

Kapasiti enjin akan diturunkan dari 1000cc kepada 850cc sekaligus menurunkan kelajuan maksima (top speed) dan meningkatkan perbatuan agar enjin lebih efisien dan mampan. 

Bore maksimum akan dikurangkan dari 81mm kepada 75mm sekaligus menghadkan prestasi kepada tahap yang lebih relevan mirip jentera jalan raya namun mengekalkan karakter jentera MotoGP. 

Bahan api

Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, kesemua jentera MotoGP akan mengguna pakai bahan api mampan 100 peratus berbanding 40 peratus yang dilaksanakan musim ini. 

Kapasiti tangki juga diturunkan dari 22L kepada 20L dan pelumba juga dibenarkan untuk menggunakan 11L ketika perlumbaan Sprint. 

Screenshot

Aerodinamik

Peraturan aero termasuk winglet yang sebelum ini kelihatan tidak terkawal akan menjadi lebih ketat bermula 2027. Lebar  winglet hadapan akan dikurangkan dari 600mm kepada 550mm. 

Menurut MotoGP pelaksanaan ini akan menyaksikan lebih banyak aksi pintas-memintas berlaku sewaktu perlumbaan. 

Sementara itu, aero dibahagian belakang jentera pula akan menjadi sebahagian daripada peraturan homologasi pada 2027. Ini bermaka setiap pasukan hanya dibenarkan melakukan kemas kini sekali sahaja setiap musim.

Alat ride-height dan holeshot

Bermula musim 2027, MotoGP mengharamkan penggunaan ‘ride-height dan holeshot sepenuhnya. Pengharaman sistem ini dilihat sebagai gerakan yang signifikan dalam memastikan sukan MotoGP lebih selamat untuk pelumba. 

Data GPS

Bagi menjaminkan kesamarataan, kesemua pasukan di MotoGP akan menerima data GPS dari semua pelumba selepas setiap sesi. Penyediaan data kepada semua pesaing akan menawarkan peluang untuk maju kedepan terutamanya bagi pasukan dan pelumba yang ketinggalan. 

Untuk rekod, MotoGP pernah menguatkuasakan sesaran enjin 800cc pada tahun 2007 yang menyaksikan pelumba Ducati, Casey Stoner muncul juara dunia.

Google ads
Back to top button