KENAPA PESAWAT PEJUANG DI ATAS KAPAL PENGANGKUT PESAWAT TIDAK JATUH MASA RIBUT?
Kapal pengangkut pesawat ataupun disebut aircraft carrier adalah salah satu cara kuasa besar menonjolkan kekuatan mereka kepada pihak lawan dengan keupayaan membawa satu pasukan udara yang terdiri daripada pesawat pejuang, risikan & maritim dan juga helikopter.
Namun ada beberapa negara yang membina kapal pengangkut yang digunakan untuk membawa helikopter dan juga dron sahaja dengan keupaayan mengoperasikan pesawat yang boleh mendarat dan berlepas secara menegak.
Namun kuasa besar seperti Amerika mampu membina kapal pengangkut pesawat kelas Gerald R Ford dengan panjang keseluruhan mencapai 337 meter. Kapal pengangkut pesawat ini boleh dikategorikan sebagai landasan kapal terbang bergerak yang dikuasakan dengan reaktor nuklear yang berupaya menjana sehingga 688 Megawatt kuasa.
Dengan tenaga kerja 580 kakitangan, kapal pengangkut pesawat kelas Gerald R Ford mampu melancarkan sehingga 160 penerbangan sehari dalam masa 30 hari tanpa henti. Pada satu satu masa, kapal pengangkut ini berupaya membawa sehingga 90 pesawat.
Ia terdiri daripada Boeing F-18 Super Hornet, Boeing EA-18G Growler electronic warfare, pesawat bekal Grumman C-2 Greyhound, Grumman E-2 Hawkeye, Lockheed Martin F-35, helikopter SH60 dan juga dron. Jika tidak digunakan, semua pesawat yang telah direka khas ini boleh disimpan di hangar di bawah dek penerbangan dengan sayap yang boleh dilipat
Untuk penerbangan, semua pesawat boleh diangkut ke atas dengan menggunakan lif yang boleh memuatkan 2 pesawat lengkap dengan bahan api, peluru dan juga senjata tanpa masalah. Namun dalam sesetengah keadaan, tidak semua pesawat boleh disimpan di dalam hangar dan disimpan di atas dek penerbangan.
50 pesawat boleh disimpan dalam hangar, dan 40 pesawat akan diparkir di atas dek penerbangan. Keadaan ini menjadikan pekerjaan di atas kapal pengangkut pesawat antara pekerjaan yang paling berisko tinggi di dunia.
Tapi macam mana kalau kapal ini diserang ribut dan juga ombak yang mencapai ketinggian berbelas meter? Boleh ke selamat? Jawapan pendek ialah boleh, kerana ada beberapa ciri khas yang direka pada kapal dan juga pesawat. Antaranya ialah:
1. Brek – sebaik sahaja diparkir di atas dek penerbanga, semua pesawat akan dipasang dengan brek pada roda pesawat (landing gear). Keadaan ini sebenarnya sudah cukup untuk menghadapi cuaca yang biasa, tetapi mungkin tidak cukup untuk cuaca buruk
2. Rantai besi – jadi semua pesawat akan ditambat dengan rantai besi keluli yang diperkukuhkan dan tahan karat (laut masin akan mempercepatkan proses pengaratan). Rantai ini akan ditambat dengan cangkuk pada poin di atas permukaan landasan yang dikenali dengan nama pad eye.
Pad eye ini akan dipasang pada seluruh permukaan dek penerbangan, bagi membolehkan semua pesawat diikat dengan kemas dengan beberapa rantai keluli bagi memastikan semua pesawat kekal pada kedudukannya walaupun dilandai ribut taufan.