KAWASAKI Z900 2025 DIPERKENAL – DENGAN QUICKSHIFTER, CRUISE CONTROL
Kawasaki dengan rasminya memperkenalkan Kawasaki Z900 baharu yang bukan sahaja hadir dengan reka bentuk dipertingkat malah pakej elektronik baharu.
Bagi tahun 2025, Kawasaki Z900 kekal dengan imej ‘Sugomi’ namun dengan panel badan yang lebih tajam, minimal dan lebih terdedah.
Lampu hadapan tampil lebih kompak berbanding model sebelumnya dan diposisikan lebih rendah bagi mewujudkan gaya yang lebih agresif dan sporty. Lampu depan pula memuatkan nyalaan LED penuh bagi ‘low-beam’ dan ‘high-beam’.
Lampu belakang juga LED dan telah direka semula dengan menerapkan teknologi ‘light-guiding’ yang mewujudkan nyalaan yang lebih bersepadu.
Meskipun masih lagi mengekalkan penggunaan platform empat silinder 948cc DOHC 16-valve dengan sistem penyejukan cecair namun Kawasaki telah menaik taraf profil cam bagi meningkatkan penjimatan minyak serta aliran tork pada rev rendah. Hasilnya, Z900 2025 ini menawarkan 122hp pada 9,500rpm dan 97.4Nm pada 7,700rpm.
Bagaimanapun, naik taraf signifkan tertumpu pada pakej elektronik dengan Z900 baharu ini menerima ‘throttle’ elekronik dan tetapan ECU baharu yang menyumabng kepada pecutan lebih baik. Kawasaki mendakwa model keluaran 2025 ini menawarkan penjimatan minyak sebanyak 16 peratus selain berjaya mengurangkan kadar emisi sebanyak 11.3 peratus berbanding sebelum ini.
Selain itu, Kawasaki turut memperkenalkan 6-axis IMU pada Z900 terbaru ini sekaligus menawarkan ‘lean-sensitive traction control’ dan ABS. Motosikal ini turut hadir dengan tiga mod; Sport, Road dan Rain serta mod kustom.
Mendengar permintaan peminat, Kawasaki turut menaik taraf Z900 terbaru ini dengan fungsi quickshifter (up/down) serta cruise control.
Segala ciri elektronik kini boleh diakses menerusi panel meter TFT 5-inci baharu dengan dua mod paparan. Menariknya, Z900 baharu ini juga merupakan motosikal Kawasaki pertama dengan fungsi ‘turn-by-turn navigation’.
Kawasaki Z900 terbaru ini juga hadir dengan dua varian, Standard dan SE dengan kedua-duanya dibezakan menerusi pakej suspensi. Z900 standard menawarkan fork USD 41mm boleh laras (rebound damping dan pra-beban) sementara Z900 SE menerima penyerap hentak belakang Öhlins S46.
Model SE juga menawarkan brek yang lebih baik dengan brek radial Brembo M4.32 dengan cakera 300mm depan sementara varian standard dipadankan dengan brek Nissin 4-piston di depan.
GALERI: KAWASAKI Z900 2025