HARGA ‘SEKENHEN’ HONDA RS-X LEBIH RENDAH BERBANDING PESAING LAIN, APA KES?
Motosikal ‘underbone’ berkapasiti 150cc merupakan antara pilihan popular penunggang motosikal di Malaysia kerana selain hadir dengan reka bentuk menarik malah kuasa ditawarkan juga mencukupi untuk kegunaan harian.
Antara model popular di Malaysia termasuk Yamaha Y15ZR, Y16ZR, dan Honda RS-X.
Populariti kesemua model tersebut memang tidak boleh disangkal dengan masing-masing menawarkan kelebihan tersendiri antara satu sama lain. Meskipun begitu, terdapat perbezaan ketara di antara Honda RS-X jika dibandingkan dengan pesaing lain terutamanya melibatkan pasaran motosikal terpakai atau ‘secondhand’.
Tinjauan di aplikasi Mudah.my mendapati harga terpakai atau ‘sekenhen’ bagi Honda RS-X susut melebihi 50 peratus berbanding harga jualan baharu. Sementara itu, Y15ZR dan Y16ZR masih lagi mengekalkan harga yang lebih tinggi.
Rata-rata model terpakai RS-X dijual dengan harga bawah RM5,000 sahaja meskipun keluaran 2023 sementara model terpakai bagi RS150R boleh didapati dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000.
Sebagai perbandingan, Y15ZR terpakai dijual dengan harga sekitar RM7,000 sementara Y16ZR keluaran 2023 ditawarkan pada harga antara RM9,000 hingga RM11,000.
Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang menentukan harga terpakai bagi Honda RS-X dan RS150R. Antara penyumbang termasuk harga jualan baharu kerana kedua-dua model ini hadir dengan harga jualan yang lebih rendah berbanding Y15ZR dan Y16ZR. Selain itu, faktor permintaan juga memainkan peranan dalam penentuan harga motosikal terpakai.
Pada masa sama, isu ‘tensioner’ dan ‘balancer’ yang sering dikaitkan dengan model RS-X dan RS150R masih lagi dibangkitkan meskipun masalah ‘tensioner’ telah pun diatasi pihak BSH bagi model keluaran Ogos 2022.
Tidak lupa juga pelancaran RS-X Winner baru-baru ini dengan harga jualan bermula RM9,998 juga pastinya memberi kesan kepada model terpakai RS-X dan RS150R. Apa pun, harga jualan yang lebih rendah ini menghadirkan berita gembira untuk mereka yang mencari motosikal terpakai namun mungkin lain kisahnya bagi pemilik yang mahu menolak RS-X dan RS150R sedia ada kerana perlu akur dengan harga lebih rendah.