Mazda CX-60, model SUV terkini dalam barisan premium Mazda, nampaknya semakin hampir tiba ke pasaran Malaysia.
Mazda CX-60 yang sudahpun dilancarkan di negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Filipina ini dijangka tiba di Malaysia pada pertengahan tahun depan serta bakal dibawa masuk oleh pengedar rasmi Mazda di Malaysia, Bermaz Auto.
Menerusi gambar intipan (spyshot), dapat dilihat pandangan pertama Mazda CX-60 yang kelihatan sedang diuji di lebuh raya.
Dari segi reka bentuk, Mazda CX-60 adalah lebih lebar, lebih tinggi, dan badan yang kelihatan lebih berotot menjadikan ia sebagai SUV bersaiz sederhana paling ‘gagah’ dalam barisan Mazda setakat ini. Bermaz akan memposisikan CX-60 di antara model CX5 dan CX-8 yang sudahpun lama dijual di Malaysia.
Mazda CX-60 hadir dengan rim aloi bersaiz 20-inci, lampu LED Signature, tailgate berkuasa dengan fungsi tanpa sentuhan, sensor parkir depan dan belakang, ciri Driver Personalisation dan Monitor pandangan 360-darjah.
Di bahagian dalam, ia dilengkapi skrin infotainmen dan kluster meter berukuran 12.3-inci, sistem audio 12 pembesar suara serta terdapat pengecas tanpa wayar.
Mazda CX-60 untuk pasaran Malaysia dijangka hadir dengan enjin 3.3G Turbo inline- 6 dan sistem Mild Hybrid Electric Vehicle (MHEV) berkuasa 280hp dan tork 450Nm yang dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD).
Sistem mild hybrid itu menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 0.33kWh dan seunit motor elektrik kecil yang mampu menjana sekitar 16PS dan tork 153Nm. Sistem MHEV itu berfungsi untuk membantu CX-60 ketika hendak mula bergerak dan cruising di lebuh raya.
Menjadi model hibrid pertama Mazda untuk pasaran tempatan, rangkaian kuasa itu menawarkan pengalaman pemanduan yang responsif dan stabil.
Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi automatik 8-kelajuan yang turut dikenali sebagai ‘learning gearbox’. Maksudnya, ia berupaya mengadaptasi gaya memandu seseorang untuk memberikan kualiti pemanduan yang lancar dan menjimatkan penggunaan bahan api.
Sebagai perbandingan dengan negara jiran, Singapura, Mazda CX-60 di sana didatangkan dengan enjin aspirasi biasa berkapasiti 2.5 liter inline-four yang menghasilkan kuasa sekitar 189hp dan tork 261Nm.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik tanpa sistem MHEV.
Di Filipina pula, CX-60 hadir dengan enjin diesel mild-hybrid 3.3-liter bersama pacuan semua roda. Varian diesel ini menawarkan tork yang tinggi dan kecekapan bahan api lebih baik, tetapi diesel mungkin kurang popular di Malaysia berbanding varian petrol atau hibrid.
Dari segi keselamatan, ia menerima kelengkapan Sistem ADAS, merangkumi;
- Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA)
- Bantuan Kekal Lorong (LAS)
- Sistem Brek Pintar (SBS)
- Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)
- Sistem Bantuan Keselamatan Bandar (CTS)
Berikut adalah perbandingan harga Mazda CX-60 di tiga pasaran ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina:
Di Indonesia, harganya adalah sekitar 1.18 bilion rupiah (lebih kurang RM354,000). Harga itu meletakkannya dalam kategori SUV premium untuk bersaing dengan jenama seperti BMW dan Mercedes-Benz.
Di Thailand pula, Mazda CX-60 dijual pada harga bermula 3.5 juta bhat (lebih kurang RM448,000).
Sementara di Filipina, Mazda CX-60 ditawarkan pada harga bermula dari PHP2.79 juta (sekitar RM238,000).
Kehadiran Mazda CX-60 bakal menambahkan lagi pilihan SUV premium di pasaran tempatan, memberikan alternatif yang lebih menarik bagi pembeli inginkan gaya dan prestasi premium. Tetapi, berapakah harga yang anda fikir sesuai untuk Mazda CX-60?
- BACA: CHERY RAI PENCAPAIAN KENDERAAN KE 15 JUTA DENGAN MAJLIS PENGELUARAN GLOBAL TERMASUK MALAYSIA
- BACA: PASUKAN PROTON R3 DEDAH PEMANDU UNTUK PERLUMBAAN 1000KM SEPANG 2024
- BACA: GAJI RM1.7K, NAFSU NAK BELI HONDA FL1 – TAK MASUK DEK AKAL, BRADER!
- BACA: PERTELINGKAHAN DI KEDAI KOPI: PAMER KERETA EV BARU BERAKHIR DENGAN TRAGEDI